MIMPIE

on Friday 2 October 2015


"akukah...."

Disebuah program, kami diberi arahan agar mengumpulkan barang-barang peribadi yang dibawa dari rumah disatu tempat mengikut jenis-jenis tertentu seperti baju, buku, dan beg. Baju satu tempat, buku satu tempat dan beg satu tempat. Barang tersebut akan diagihkan dibeberapa booth mengikut jenis barang yang telah dikhaskan. Dalam tempoh beberapa saat kami diberi masa untuk memilih apa jua  barang yang disukai sama ada kepunyaan sendiri atau orang lain.


" Perhh, senang-senang jer bagi free pada orang. Dah ghupe harta ghanimah (rampasan) ". Aku hanya mampu meluahkan amarah didalam hati. Mungkin ini yang dikatakan tadhiyyah (pengorbanan) dalam persahabatan. Maklumlah, sewaktu ini hanya ikut sahaja apa yang disuruh. Tiada lagi kekuatan untuk rebel. Pasrah.


Disebuah booth pakaian, aku sempat merentap baju melayu iaitu baju melayu berwarna biru yang dibeli sempena AidilFitri dan digunakan sewaktu aku menjadi pengapit walimah sahabatku, Fahmi Zilan. Sedang asyik memilih, kedengaran seseorang membaca ayat al-Quran. Begitu lantang suaranya. Aku cam suara itu. Suara Nasrun Naim sahabatku di SIS dahulu. Rupanya wujud sekumpulan manusia sedang khusyuk mendirikan solat berimamkan sahabatku dibawah sepohon pokok. Aku bermonolog sendiri "solat zohor dikuatkan suara? Mungkin maslahah (kepentingan) untuk mengajak orang solat sekali. Xpe laa...".  Mereka memakai jersi yang sama. Aku anggarkan barangkali mereka akan menyertai perlawanan bola sepak. Aku memerhati jam tangan menunjukkan jam 3.30 petang. Dari kalot memilih baju, aku meletakkan selonggok baju yang dipilih  diatas meja kaunter dan menuju ke sebatang paip air bersebelahan booth baju untuk mengambil wudu'.


Aku meleraikan tali kasut dan membuka kasutku yang berjenama Nike.  Kasut yang sering kali aku pakai sewaktu menyertai setiap demostrasi di sekitar ibu kota. Kasut ini juga aku guna sewaktu melarikan diri dari dikejar FRU dan polis. Banyak jasanya.
Ketika hendak meluruhkan stokin dan

tiba-tiba.......

Kedengaran bunyi tembakan bertali-arus dan letupan bom seterusnya disusuli jeritan manusia.

"lari lari lari.. !!!".

Aku tergamam.

Sempat aku menoleh ke belakang dan kelihatan sekumpulan askar persis berwajah arab dengan rakus melepaskan tembakan demi tembakan secara membuta-tuli. Ada yang jatuh tersembam ke tanah, ada yang sudah dicekik leher, dan ada yang sembunyikan diri dibalik booth. Dada aku kencang bernafas. Mata aku tercari-cari tempat untuk sembunyikan diri. Gelak tawa askar dan jeritan suara manusia yang meminta pertolongan agar tidak dibunuh jelas kedengaran. Apa yang aku harus buat sekarang? negara Malaysia yang aman sebelum ini, rakyat yang asyik dengan dunia sendiri, kini diserang oleh sekumpulan askar siap bersenjata asli. Seakan tidak percaya. Sebelum ini aku hanya melarikan diri dari FRU dan Polis. Paling teruk ditembak watercanon dan dibaling bom asap. Tetapi kali ini aku perlu melarikan diri dari askar asing. Bila-bila sahaja peluru senapang akan menembusi kepala apabila dilepaskan.


Aku mendapatkan kasut dan bersedia untuk selamatkan diri. Baju melayu tadi dibiarkan sahaja kerana kasut lebih penting agar lebih pantas aku melarikan diri. Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada jemaah yang mendirikan solat dibawah pohon tadi. Aku berlari ke arah jam 1 dari booth baju. Sekali lagi aku terkejut apabila bertembung dengan sekumpulan askar yang lain. Cuma kumpulan askar ini berwajah asian. Berpakaian askar berwarna hijau pekat. Manakala kumpulan askar sebentar tadi  berpakaian askar berwarna coklat cair. Aku hanya mengikut jalan yang dihala oleh mereka. Aku ditawan atau diselamatkan? Mereka melepaskan tembakan ke langit. Mungkin satu bentuk serangan balas kepada pihak lawan atau sebagai simbolik agar tahanan perlu tunduk arahan mereka. Kami berlari anak mengikut arah yang dituju oleh mereka. Tiada apa yang diharapkan cuma nyawa dapat diselamatkan.

Kami dibawa ke sebuah rumah usang. Dedaun pintu rumah dibuka dan terpancar lampu mentol berwarna oren. Kami diarah masuk ke dalam rumah itu. Rupanya rumah ini sudah dipenuhi mangsa pelarian baik lelaki dan perempuan seperti kami. Umur mereka seakan sebaya dengan aku. Keadaan suram dan terpampang riak wajah yang ketakutan dimuka mereka. Tiba-tiba seorang lelaki bersuara. " yehh, orang kuat dah datangg !!". Siapa? akukah... Aku kenal lelaki itu. Angah panggilannya iaitu sahabat fasilitator dibawah Fasstrain. Dalam ketakutan aku cuba membina semangat. Memupuk keberanian agar boleh merekrut mangsa-mangsa pelarian menjadi satu kumpulan menentang penjajah kembali. Membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Berjuang demi nyawa dan agama. Namun satu persoalan bermain diminda, akukah pejuang itu.........

*terjaga dari tidur.


************
Mimpi yang tidak pernah aku alami sepanjang hidup. Mimpi ini meninggalkan 1001 pesanan agar kita fikir bersama. Barangkali mimpi ini diserap hasil talk yang aku hadiri berkaitan negara Turki dua kali berturut-turut iaitu "Kerdipan Bintang Melayu di langit Turki" oleh Prof Mat Rofa dan "Sekulerisme dan Proses Demokrasi di Turki" oleh Prof Redzuan.

Sudah lama aku tidak mengarang dihamparan kaca elektronik. Mimpi ini menggerakkan jari jemari agar sama-sama direnungkan keadaan yang bakal dialami sekiranya diserang oleh penjajah seperti abad ke-19. Bagaimana keadaan diri sendiri, adik-beradik, keluarga, kawan, jiran tetangga?. Faktor utama aku tegar bercerita panjang untuk dikongsikan PERASAAN ketika itu. Kita tidak akan merasai suasana peperangan selagi kita tidak alami sendiri. Cuba bayangkan watak "aku" itu adalah anda yang sedang membaca coretan ini. Mimpi itu fantasi tapi perasaan suasana dalamnya kita akan dapat rasai. Cukup kita mendengar tembakan dan letupan yang sedang berlaku di negara arab seperti Palestin, Syria, dan Mesir sebagai bukti peperangan itu wujud. 

Bagaimana sejarah lampau menceritakan peperangan di Tanah Melayu tidak mustahil akan berulang kembali. Apakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan asas pertahanan diri bagi setiap daripada kita? Apakah kesan permasalahan ekonomi dan politik Malaysia yang semakin meruncing mempercepatkan tanah melayu dipegang kembali oleh penjajah asing. Adakah sudah masak ketenteraan negara untuk menghadapi serangan musuh? Aku tinggalkan persoalan agar sama-sama fikirkan.

Cerpen ini ilham dari mimpi
Dinukilkan agar kita berfikir


Sang Mimpi,
Khair29

Tragedi 1 Oktober 2015


 
© hadafuljadid All Rights Reserved