MIMPIE

on Friday 2 October 2015


"akukah...."

Disebuah program, kami diberi arahan agar mengumpulkan barang-barang peribadi yang dibawa dari rumah disatu tempat mengikut jenis-jenis tertentu seperti baju, buku, dan beg. Baju satu tempat, buku satu tempat dan beg satu tempat. Barang tersebut akan diagihkan dibeberapa booth mengikut jenis barang yang telah dikhaskan. Dalam tempoh beberapa saat kami diberi masa untuk memilih apa jua  barang yang disukai sama ada kepunyaan sendiri atau orang lain.


" Perhh, senang-senang jer bagi free pada orang. Dah ghupe harta ghanimah (rampasan) ". Aku hanya mampu meluahkan amarah didalam hati. Mungkin ini yang dikatakan tadhiyyah (pengorbanan) dalam persahabatan. Maklumlah, sewaktu ini hanya ikut sahaja apa yang disuruh. Tiada lagi kekuatan untuk rebel. Pasrah.


Disebuah booth pakaian, aku sempat merentap baju melayu iaitu baju melayu berwarna biru yang dibeli sempena AidilFitri dan digunakan sewaktu aku menjadi pengapit walimah sahabatku, Fahmi Zilan. Sedang asyik memilih, kedengaran seseorang membaca ayat al-Quran. Begitu lantang suaranya. Aku cam suara itu. Suara Nasrun Naim sahabatku di SIS dahulu. Rupanya wujud sekumpulan manusia sedang khusyuk mendirikan solat berimamkan sahabatku dibawah sepohon pokok. Aku bermonolog sendiri "solat zohor dikuatkan suara? Mungkin maslahah (kepentingan) untuk mengajak orang solat sekali. Xpe laa...".  Mereka memakai jersi yang sama. Aku anggarkan barangkali mereka akan menyertai perlawanan bola sepak. Aku memerhati jam tangan menunjukkan jam 3.30 petang. Dari kalot memilih baju, aku meletakkan selonggok baju yang dipilih  diatas meja kaunter dan menuju ke sebatang paip air bersebelahan booth baju untuk mengambil wudu'.


Aku meleraikan tali kasut dan membuka kasutku yang berjenama Nike.  Kasut yang sering kali aku pakai sewaktu menyertai setiap demostrasi di sekitar ibu kota. Kasut ini juga aku guna sewaktu melarikan diri dari dikejar FRU dan polis. Banyak jasanya.
Ketika hendak meluruhkan stokin dan

tiba-tiba.......

Kedengaran bunyi tembakan bertali-arus dan letupan bom seterusnya disusuli jeritan manusia.

"lari lari lari.. !!!".

Aku tergamam.

Sempat aku menoleh ke belakang dan kelihatan sekumpulan askar persis berwajah arab dengan rakus melepaskan tembakan demi tembakan secara membuta-tuli. Ada yang jatuh tersembam ke tanah, ada yang sudah dicekik leher, dan ada yang sembunyikan diri dibalik booth. Dada aku kencang bernafas. Mata aku tercari-cari tempat untuk sembunyikan diri. Gelak tawa askar dan jeritan suara manusia yang meminta pertolongan agar tidak dibunuh jelas kedengaran. Apa yang aku harus buat sekarang? negara Malaysia yang aman sebelum ini, rakyat yang asyik dengan dunia sendiri, kini diserang oleh sekumpulan askar siap bersenjata asli. Seakan tidak percaya. Sebelum ini aku hanya melarikan diri dari FRU dan Polis. Paling teruk ditembak watercanon dan dibaling bom asap. Tetapi kali ini aku perlu melarikan diri dari askar asing. Bila-bila sahaja peluru senapang akan menembusi kepala apabila dilepaskan.


Aku mendapatkan kasut dan bersedia untuk selamatkan diri. Baju melayu tadi dibiarkan sahaja kerana kasut lebih penting agar lebih pantas aku melarikan diri. Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada jemaah yang mendirikan solat dibawah pohon tadi. Aku berlari ke arah jam 1 dari booth baju. Sekali lagi aku terkejut apabila bertembung dengan sekumpulan askar yang lain. Cuma kumpulan askar ini berwajah asian. Berpakaian askar berwarna hijau pekat. Manakala kumpulan askar sebentar tadi  berpakaian askar berwarna coklat cair. Aku hanya mengikut jalan yang dihala oleh mereka. Aku ditawan atau diselamatkan? Mereka melepaskan tembakan ke langit. Mungkin satu bentuk serangan balas kepada pihak lawan atau sebagai simbolik agar tahanan perlu tunduk arahan mereka. Kami berlari anak mengikut arah yang dituju oleh mereka. Tiada apa yang diharapkan cuma nyawa dapat diselamatkan.

Kami dibawa ke sebuah rumah usang. Dedaun pintu rumah dibuka dan terpancar lampu mentol berwarna oren. Kami diarah masuk ke dalam rumah itu. Rupanya rumah ini sudah dipenuhi mangsa pelarian baik lelaki dan perempuan seperti kami. Umur mereka seakan sebaya dengan aku. Keadaan suram dan terpampang riak wajah yang ketakutan dimuka mereka. Tiba-tiba seorang lelaki bersuara. " yehh, orang kuat dah datangg !!". Siapa? akukah... Aku kenal lelaki itu. Angah panggilannya iaitu sahabat fasilitator dibawah Fasstrain. Dalam ketakutan aku cuba membina semangat. Memupuk keberanian agar boleh merekrut mangsa-mangsa pelarian menjadi satu kumpulan menentang penjajah kembali. Membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Berjuang demi nyawa dan agama. Namun satu persoalan bermain diminda, akukah pejuang itu.........

*terjaga dari tidur.


************
Mimpi yang tidak pernah aku alami sepanjang hidup. Mimpi ini meninggalkan 1001 pesanan agar kita fikir bersama. Barangkali mimpi ini diserap hasil talk yang aku hadiri berkaitan negara Turki dua kali berturut-turut iaitu "Kerdipan Bintang Melayu di langit Turki" oleh Prof Mat Rofa dan "Sekulerisme dan Proses Demokrasi di Turki" oleh Prof Redzuan.

Sudah lama aku tidak mengarang dihamparan kaca elektronik. Mimpi ini menggerakkan jari jemari agar sama-sama direnungkan keadaan yang bakal dialami sekiranya diserang oleh penjajah seperti abad ke-19. Bagaimana keadaan diri sendiri, adik-beradik, keluarga, kawan, jiran tetangga?. Faktor utama aku tegar bercerita panjang untuk dikongsikan PERASAAN ketika itu. Kita tidak akan merasai suasana peperangan selagi kita tidak alami sendiri. Cuba bayangkan watak "aku" itu adalah anda yang sedang membaca coretan ini. Mimpi itu fantasi tapi perasaan suasana dalamnya kita akan dapat rasai. Cukup kita mendengar tembakan dan letupan yang sedang berlaku di negara arab seperti Palestin, Syria, dan Mesir sebagai bukti peperangan itu wujud. 

Bagaimana sejarah lampau menceritakan peperangan di Tanah Melayu tidak mustahil akan berulang kembali. Apakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan asas pertahanan diri bagi setiap daripada kita? Apakah kesan permasalahan ekonomi dan politik Malaysia yang semakin meruncing mempercepatkan tanah melayu dipegang kembali oleh penjajah asing. Adakah sudah masak ketenteraan negara untuk menghadapi serangan musuh? Aku tinggalkan persoalan agar sama-sama fikirkan.

Cerpen ini ilham dari mimpi
Dinukilkan agar kita berfikir


Sang Mimpi,
Khair29

Tragedi 1 Oktober 2015


BANJIR 231214

on Thursday 29 January 2015



23 DIS 2014 merupakan tarikh bersejarah buat negara Malaysia.Sejarah baru terpahat di Tanah Melayu dan akan menjadi kenangan dan pengajaran buat manusia yang hidup hatinya. Bencana alam muncul tanpa diduga membawa air hujan yang melimpah-lurah sehingga menenggelamkan beberapa buah negeri di Malaysia seperti Kelantan,Terengganu,Pahang,Perak dan yang terkini di Sabah dan Sarawak. Kita mendoakan keselamatan dan kebaikan buat mereka semua. Air bah yang berehat dilantai bumi hasil curahan air dari langit membawa satu ujian besar bagi rakyat disana. Tua,muda,kaya,dan miskin hanyut ditelan banjir besar.Harta tidak lagi diendahkan kerana nyawa itu adalah nilai segalanya, Tiada lagi wujud kebergantungan pada manusia kerana semuanya berbalik pada yang Esa.Musibah untuk dimuhasabah.Selami jiwa dan hati yakni ibrah yang perlu diambil sebagai bekalan hidup mendatang.   


MBM : Misi Banjir Mahasiwa

Satu gerakan mahasiwa yang diketuai oleh saudara Khairol Najib Hashim selaku pengarah MBM merangkap Presiden PMIUM Sesi 2014/2015. Idea tercentus atas tubuh badan mahasiswa itu sendiri tanpa sekatan dari mana-mana pihak baik dari peringkat kampus atau parti politik.Misi Banjir Mahasiwa membawa satu semboyan suara kepada negara bahawasanya mahasiswa itu sebagai badan penyelamat dan hidup buat rakyat.Cakna pada isu sekeliling dan tidak terkubu dililitan dewan kuliah.

Gerakan MBM dengan kerjasama Yayasan Darul Hijrah,NGO Royalti,Impian Malaysia,Yayasan Amal Malaysia Selangor,dan Jabatan Agama Islam Selangor telah  bergerak bersama dengan  sukarelawan mahasiswa dari pelbagai kampus seperti UM,UIA,UKM,USM,USIM,UNIMAP,UITM dan beberapa pelajar lepasan SPM.Mereka berganding bahu dan memerah tenaga demi membantu mangsa banjir yang ditimpa ujian alam. Lokasi tempat berBAKti SISwa di sekitar bandar Kuala Krai iaitu di Peria,Manjur,Kg. Ragu,dan Manik Urai Lama.
P/S : Bakti Siswa ( BAKSIS ) iaitu program tahunan yang sering kali dianjurkan oleh pelbagai Persatuan Negeri di Universiti Malaya.Saya percaya program ini juga dijalankan oleh seluruh IPT di Malaysia.Saya cadangkan agar kalian memilih lokasi yang ditimpa musibah banjir supaya istilah BAKTI itu sendiri membawa 1001 harapan baru kepada penduduk tersebut. -Mahasiswa Untuk Rakyat-


“Orang berakal hidup buat masyarakatnya,bukan buat dirinya sendiri”
Falsafah Hidup (67) ,Prof. Dr Hamka


Tanggal 13-20 JAN 2015 adalah waktu dipilih untuk merealisasikan Perkampungan Harapan Mahasiswa 2015 yakni sebagai satu harapan baru kepada mangsa banjir untuk mengatur rentak kehidupan.Kami telah membina penempatan sementara dikawasan Masjid Peria Kuala Krai sebagai tempat teduhan buat sukarelawan lelaki manakala sukarelawan perempuan menetap di tingkat dua didalam masjid.Disini tempat kami beristirehat, berbincang mengenai gerak kerja MBM, makan minum bersama dan juga menjadi tempat pengumpulan barang untuk dihantarkan kepada mangsa banjir. Hillux NCM dan Lori Royalti menjadi  kuda tunggangan kami sepanjang menjalankan misi jihad disana. Terima kasih kepada empunya kenderaan. Sangat berbakti kepada kami.
-MAHASISWA UNTUK RAKYAT-
Sekitar  di kawasan Masjid Peria Kuala Krai,Kelantan
Kenderaan yang berbakti kepada kami sepanjang MBM


Bermula pada tapak untuk bangkit semula memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi.Sebuah teratak yang terukir pelbagai nostalgia diawal penempatan,dihiasi taman bahagia bersama anak cucu, menjana ekonomi ditanah bumi yang subur mekar,kini sekaligus ranap ditelan air bah.Bersih bukan sekadar bersihkan tapak bencana,tetapi bersih dan sinarkan kepahitan dihati mereka.Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.Saat ini mereka diuji, mungkin satu ketika waktu kita pula diuji.Sungguh hebat ujian ditimpa oleh mereka. Apakah aku mampu berdiri tegak bila terjunam jatuh ditimpa bala?

Teringat kisah yang dikongsi seorang pak cik sewaktu kami menjalankan misi pembersihan di kawasan Kg. Ragu. Katanya “ saya bersyukur apa yang berlaku kepada rumah saya kerana bila saya ziarah di kampung sebelah (Manik Urai Lama) keadaan rumah mereka lebih teruk daripada diri saya.” Boleh laa ubah loghat kelate. Dok reti nok oyak.haha.Ini adalah maksud yang hendak disampaikan  pak cik tersebut. Terpampang hikmah bermusafir dan ziarah ke negeri orang kerana dari situ kita belajar makna syukur dan meredakan hati yang luruh apabila melihat orang yang lebih susah daripada kita. Yang hebatnya pak cik ini walaupun keadaan rumahnya masih berselerak dimainkan air bah tetapi sempat lagi menghidangkan air Teh  O’ dan Kopi O’ suam kepada kami.Manisnya semanis senyuman pak cik ^__^
*Satu pujian harus diberikan kepada rakyat Kelantan pada adab dan akhlak mereka dalam memuliakan tetamu.Hal ini terbukti hasil 2 tahun pengajian asasi di UM Nilam Puri  (Batch 2010/2011) sewaktu saya menyertai dua kali Program Bakti Siswa iaitu  pertama di Tok Uban,Pasir Mas dan kedua di Kg. Tujoh,Tumpat.Mereka melayan kami seperti anak raja dan tiada batas halangan untuk kami saling berkomunikasi walau berbeza loghat. Sangat hargai dan takjub layanan yang diberikan kepada kami. Terima kasih ore kelate.

Insan disuruh untuk mengembara melihat alam.Mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian dan peristiwa.Begitu banyak ayat dalam al-quran,Allah swt menyebut
 “ Tidakkah kamu lihat?” dan “Berjalanlah kamu di bumi”? – Dr Maza

Sukarelawan MBM beramah-mesra bersama adik-adik di Kg. Ragu.

Keadaan di Kg Ragu tidak dianggap kritikal walaupun  lumpur sudah menjadi pengganti karpet rumah kalau hendak dibandingkan keadaan di Kemubu, Manjur, dan Manik Urai lama.Keadaan penempatan mereka lebih daif berbanding Kg. Ragu.Sewaktu dalam perjalanan menuju ke kawasan Manjur iaitu kawasan angkat MBM, kami ditayangkan keadaan hutan pada fitrahnya berwarna hijau kini bertukar coklat hasil ditelan air bah.Saya jangkakan 2 meter dari paras air sungai dan 3 meter dari permukaan jalan raya bermakna keseluruhannya adalah 5 meter atau mungkin lebih. Kain, baju, botol, dan karpet kelihatan tersangkut dibalik pepohon coklat. Bayangkan bagaimana keadaan mereka sewaktu hujan turun mencurah dari langit dan paras air meningkat dari masa ke semasa sehingga menelan rumah dan hutan disekeliling mereka.

Keadaan di Manjur umpama padang jarak padang terkukur. Habis rumah direntap air.Ada rumah yang beralih tempat, ada yang tinggal ruang dapur dan tangga hadapan manakala ruang tamunya sudah hilang,ada yang rumah gagah berdiri namun didalamnya sudah retak dihempap selut, dan ada juga yang hanya tinggal tanah sahaja.Tugas kami adalah membersihkan kekotoran selut disegenap inci rumah yang masih boleh diduduki semula. Dimana ada selut disitu ada kami. Malah ada segelintir sukarelawan sempat melelapkan mata seketika dirumah mangsa banjir setelah selut dan lumpur selesai dibersihkan.Tanda berpuah hati mungkin.Ada juga yang mengambil peluang berenang di sungai yakni tempat sumber air yang diperolehi oleh orang kampung buat sementara waktu.Sesungguhnya penduduk disitu menanti kedatangan sukarelawan untuk bantu membersihkan kediaman mereka.Faktor usia tua dan ketiadaan anak disisi menjadi halangan buat mereka untuk membersihkan kediaman sendiri.

Keadaan di Kg Manjur
Kesan air bah disekitar lokasi MBM.

 Menurut seorang penduduk disana, mana-mana rumah yang masih boleh diduduki bakal menerima peruntukan perbelanjaan bagi baik pulih semula manakala rumah yang sudah tiada bakal diberi satu penempatan baru. Moga ini adalah berita benar dan akan diusahakan oleh pihak yang terlibat baik ia datang dari kerajaan pusat atau kerajaaan negeri. Segala bantuan  juga harus diberikan secara konsisten dari awal banjir sehingga kehidupan mereka kembali stabil. Mungkin mengambil masa dalam tempoh setahun atau dua tahun.Saya khuatir sumbangan hanya terhad dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas banjir surut.Bagaimana pula keadaaan mereka dalam tempoh seterusnya,sedangkan mereka masih dalam keadaan uzur untuk memulakan kehidupan baru.

Disitu juga kelihatan beberapa NGO dari pelbagai negeri seperti Johor,Melaka,Selangor,dan Negeri Sembilan ( setakat apa yang saya lihat berdasarkan bendera negeri yang diselitkan dibalik pintu dan bumbung kereta ). Mereka turut sama menghulurkan bantuan baik dari sudut pemberian material dan pembaikian rumah. Malah sewaktu perjalanan menuju ke beberapa lokasi banjir, kami sering kali berselisih dengan rombongan kereta Hillux yang sudah pasti membawa muatan barang-barangan khas buat mangsa banjir. Seperti biasa upacara kedip-kedip hightbeam saling balas-membalas tanda persahabatan yang terjalin dijalan raya.Syabas dan tahniah semoga Allah merahmati usaha yang dicurahkan.

Selain mensucikan rumah mangsa banjir, sukarelawan MBM juga bergotong-royong ‘mengecat’ Tadika Pasti yang terletak di Kg. Ragu, membersihkan surau masjid dan  menghantar barang material hasil sumbangan orang awam untuk diberikan kepada mangsa banjir disekitar Kg. Peria.Dapur, air  anti-panthogen,air mineral dan senaskah al-Quran diberikan kepada beberapa rumah yang terpilih berdasarkan kondisi rumah dan keluarga dibawah pemerhatian ketua kampung kawasan tersebut.Adapun beberapa sukarelawan ditugaskan untuk mendapatkan respon balas daripada penduduk kampung sepanjang MBM disana. Senyuman terukir dibibir mereka.Mereka gembira dan amat bersyukur atas bantuan yang diberikan.Sedikit sebanyak dapat menyembuhkan tangisan dihati dan mengurangkan beban yang dialami selepas air surut.
Misi membersihkan kotoran degil

Pada malam terakhir sebelum kami berangkat pulang ke kampung halaman, satu jamuan ala kadar diadakan.Tanda penghargaan kepada setiap tubuh badan sukarelawan yang bekerja keras tenaga sepanjang MBM.Ayam dan daging kambing panggang dihidangkan kepada sukarelawan dan jemaah masjid. Ala kadar sangat.Terima kasih kepada pihak penyumbang yang sponser makanan untuk malam berkenaan.Lazatnya sehingga bermain didalam mimpi,kenyang sehingga x perlu makan pagi.

20 JAN 2015 merupakan hari terakhir kami disana.Majlis penutup dirasmikan oleh Dato Husam Musa selaku pengasas Yayasan Darul Hijrah.Kalamnya penuh dengan nasihat dan taujihad supaya kita menjadi hamba yang Rabbani.Mengambil ibrah banjir yang berlaku.Menceritakan kembali banjir zaman Nabi Nuh supaya mengambil bentuk tindakan dan perlaksanaan sebelum,semasa dan selepas banjir besar.Sesi fotografi diambil sebagai kenangan disimpan sejarah yang berharga.Keseluruhan sukarelawan,ngo,dan beberapa penduduk kampung  duduk dalam posisi yang ditetapkan dan dalam kiraan tiga,dua,satu. Smile~
Bersama Dato Husam Musa,Ngo Royalti dan keseluruhan Mahasiswa yang menjayakan MBM 13-20 Jan 2015
Ucapan oleh Dato Husam Musa sempena majlis penutup MBM


Sedih,pilu,rindu,sayang silih berganti bermain didalam hati.Hubungan yang terjalin secara tidak dirancang diantara sukarelawan dan masyarakat.Ukhuwah itu sangat unik.Mengikat hati utuh sekali.Tidak sesekali ingin putuskan silaturahim dengan tangan sendiri melainkan sudah ditentukan takdir ilahi.Nostalgia sepanjang berada disana berpusing kembali sejak diawal menjejak kaki di tanah Kuala Krai.Salam perpisahan silih berganti.Adik-adik disana enggan sekali melepaskan tangan si akak sukarelawan.Titisan air mata menzahirkan perasaan didalam hati.Sungguh MBM meninggalkan banyak kenangan yang berwarna-warni.

Si kecil Faris yang menceriakan keadaan disana. Peace ^^
Berbahagialah mencintai apa yang dimiliki agar makna syukur itu sentiasa hidup subur didalam hati.Jangan melihat orang diatas kelak sifat kufur nikmat akan muncul didalam diri,tapi lihat orang dibawah supaya mulut sentiasa bertasbih memuji kebesaran Allah atas nikmat yang diberikan.Nilai diri dimana kita berpijak dan bermusafirlah supaya engkau mengerti hakikatnya kita adalah sebagai seorang hamba dan wajib tunduk pada yang Maha Esa.



------------------------------------TAMMAT----------------------------







Warna-warni Misi Banjir Mahasiswa 13-20 Jan 2015
Coretan diatas berdasarkan pemerhatian saya sepanjang berada disana.Saya menyertai Misi Banjir Mahasiswa bermula 15-20 JAN 2015 iaitu pada trip Ke-2 selepas selesai menjawab peperiksaan semestera akhir.Mohon maaf sekiranya wujud beberapa kesilapan teknikal.Hasil coretan diatas buat perkongsian bersama dan  moga ia menjadi satu saham diakhirat kelak. InsyaAllah.

Waallahualam



Sang Musafir,
Khair Alimar Shidi
Mahasiswa Tahun 3
JSP,Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

1.29 PM / 29 JAN 2015

Kalimah Allah

on Tuesday 4 February 2014

Thanks to Allah

Satu kalimah yang mempunyai aura tersendiri.Kalimah yang suci menjadi pegangan pada hati yang suci.Sang Pencipta yang menjadikan manusia,Sang Pengasih yang menjadi tempat aduan manusia,Sang Pengampun yang memberi harapan baru kepada manusia.Dia Pencipta dan kita diciptakanNya.

Kasihnya Allah menciptakan kita pelbagai bangsa,warna dan agama agar kita saling kenal-mengenali.Kasih sayang Allah tidak dikhususkan kepada mana-mana manusia melainkan yang mentaati dan mengikuti arahanNya.Kasih sayang Allah tidak terbatas namun manusia itu sendiri membataskan diri untuk menikmati kasih sayang daripadaNya.Allahu

Aku berlindung kepada Tuhan Manusia
Raja Manusia
Sembahan Manusia [114:1-3]

Teringat luahan hati seorang warga Sabah yang beragama Kristian :
'Saya percaya bahawa tuhan itu satu.Saya diajar perkataan Allah sejak kecil.Dan Allah yang saya maksudkan ini adalah tuhan saya (kristian).Apabila saya beribadah dan berdoa,saya dapat merasakan Allah itu benar-benar dekat dalam hati saya'

Apa maksud disebalik kata-kata ini ?
Mereka percaya adanya tuhan yakni Allah.Mereka diajar untuk sembah dan sujud kepadaNya.Cuma bezanya dalam pelbagai agama adalah bagaimana cara mereka “BERIBADAT” kepada Allah.Kristian beza caranya,Buddha beza caranya dan Islam beza caranya.Walaupun pelbagai agama namun peranan mereka adalah beribadat kepada tuhan iaitu Allah. Katakanlah aku berlindung pada Tuhan manusia,Raja Manusia dan Sembahan manusia.Mengapa perlu dipersoalkan lagi bahawasanya Allah hanya layak disembah pada sesuatu kaum dan agama sahaja sedangkan didalam Al-Quran sudah termaktub Allah itu Tuhan manusia,Raja manusia,dan Sembahan manusia.

Untukmu Agamamu,Untukku Agamaku [109:6]

Berbalik pada ungkapan kata diatas,sangat terkesan dengan kata-kata saudara tersebut iaitu :

“Apabila saya beribadah dan berdoa,saya dapat merasakan Allah itu benar-benar dekat dalam HATI saya”

HEADSHOOT !!
Aku pelik dan petak orang Kristian boleh berkata-kata seperti begini. “Saya dapat merasakan Allah itu benar-benar dekat dalam hati saya” .Ini kata-kata yang keluar dari mulut seorang yang beragama Kristian bukan beragama Islam.Bagaimana mereka yang bukan beragama Islam boleh merasakan kewujudan Allah didalam hati tetapi tidak kita yang beragama Islam sejak berketurunan dan berwarisan lagi.Allahu.Mungkin hati kita sudah terlalu hitam macam kopi O? Mungkin hati kita sudah melekat dengan pelbagai maksiat. Allah. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita.

Dan satu rangkap kata-kata yang aku kira mengetuk pintu hati bagi penganut Kristian,Buddha,dan  Islam untuk mengenali siapakah DIA pencipta mereka.

“You don’t find what do you want,but you must find what the creator’s want”- Dr Mujahid Rawa

Mengikut hati pasti bumi ini terpecah dua.Manusia itu sendiri akan mengagihkan bumi kepada dua dan mengatur pecahan bangsa dan warna kulit untuk menetap disesuatu kawasan.Menjadi bijak pandai seketika mengambil kerja Sang Pencipta.Dari ciptaan menjadi ala Pencipta dan mengawal langkah kepada ciptaan yang sama.Mana mungkin  berlaku.Sekiranya manusia itu diberi hak untuk memenuhi kehendak diri pasti berlangit tinggi harapannya.Itulah manusia yang tidak lari dari mainan hawa nafsu.

Khalifah Islam pada suatu ketika dahulu menunjukkan contoh yang baik bagaimana agama lain perlu dihormati meskipun ketika peperangan.

Pada zaman khalifah Umar Al-Khattab, beliau memasuki Baitulmuqaddis dan mengarahkan tiada mana-mana penganut Kristian boleh disakiti malah beliau mengisytiharkan deklarasi keamanan pertama di antara umat Islam, Yahudi dan Kristian.
                                  
Begitu juga apa yang berlaku pada zaman Salahuddin Al-Ayubi ketika peperangan menentang Richard The Lionheart bersama tujuh negara Eropah menakluk Baitulmuqaddis, beliau memerintahkan gereja dibuat pemulihan setelah terkena serangan bagi menghormati agama Kristian dan Yahudi bersama Islam



Allah,
Bila mata melihat Langit lantas mengingati kekuasan Allah yang menciptakan langit tanpa tiang,
SubhanaAllah….
Bila mata melihat Lautan lantas mengingati kebesaran Allah yang menciptakan laut sejauh mata memandang,
SubhanaAllah…



Yang percaya bahawa Allah itu Esa,
Yang percaya bahawa Allah tempat untuk bergantung segalanya,
Yang percaya bahawa Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan.
Dan tiada yang setara dengaNya.
Allahuakbar.



________________________________________________________________________________


Serba ringkas perkongsian sewaktu forum “Polemik khalimah Allah dan rampasan Bible”.Kefahaman itu perlu untuk tunjuki jalan didunia.Menapak dengan kaki berteraskan ilmu fikiran.Aku kau dan kamu berperanan berkongsi ilmu yang ada. Jangan mengkritik seseorang atas dasar berlainan kiblat sebelum kita sendiri memperbetulkan kiblat yang lurus lagi benar.Fuhh,dunia yang mencabar. Moga Allah meletakkan kita diatas jalan yang benar dan sentiasa mengukuhkan pendirian kita.InsyaAllah.


Waallahualam.
Jiwa yg mencari hidayah Allah,
3.29PM / 4.2.2014




AKU TERIMA NIKAHNYA

on Thursday 20 June 2013


Alhamdulillah
Suratan yang telah termaktub didalam kehidupanku
Kita merancang,Allah turut merancang
Aku percaya
Ini adalah terbaik buatku
Bersama dengan 'kekasih hati' adalah satu impian
Apatah lagi bila bersama membina Istana mahligai
Merancang,berusaha dan bertawakal
Akhirnya,Allah temukan kami
Mudah-mudahan semua berjalan dengan lancar
Jemput sahabat-sahabat menghadiri majlis 'kami'
Tidak lama dah
Segala 'persiapan' sedang diatur
Didalamnya penuh dengan kenikmatan dan keberkatan
Baik 'orang biasa' atau 'orang yang luar biasa'
Anda semua dijemput hadir
Temukan aku bersama "isteriku" yakni Sang Bulan Ramadhan Ya Rabb

Jom bersama perkukuhkan diri dengan ibadah yang mantap
Bawakan hati dalam setiap amalan
Cuba istiqamahkan dalam setiap perbuatan
Biar amalan yang simple,tapi ia terus dilakukan
Senyum x perlu kata apa-apa senyum
^_________^
INGAT!!
Semua dijemput hadir
   

21 Syaaban 1434H
Road-2-Ramadhan
                                                                                                             





Syaaban

on Monday 10 June 2013

PALESTINA !!!

on Friday 7 June 2013



Apakah kita cakna ?
Disini….
Tiada pergaduhan
Tiada perbalahan
Tiada peperangan
Aman dan damai
Tiada limpahan darah
Tiada tangisan kanak-kanak
Tiada peluru dan roket didepan mata
NAMUN !!
Disana…
Semua berlaku didepan mata
Ia Realiti bukan fantasi
Peperangan seperti tayangan biasa
Peluru bertaburan di jalan raya
Letupan kedengaran disetiap pelusuk tempat
Lautan darah membasahi tanah mereka
Tiada senyuman dibibir mereka
Tiada masa untuk bergembira dan berseronok
Kehidupan dipagari dengan kekejaman zionis laknatullah
Berjuang !!!
Iman dan Roh Islam yang tinggi mereka gah berdiri
Bangkit memperjuangkan Tanah Islam dari dijajah
Berjuang dan KEKAL Berjuang….
Kami di Malaysia
Mereka di Palestin
Dua tempat yang berbeza
Kerana iman dan islam
Kita bersama
KAMU
PALESTINA TERCINTA




 
© hadafuljadid All Rights Reserved