23 DIS 2014 merupakan tarikh bersejarah buat negara
Malaysia.Sejarah baru terpahat di Tanah Melayu dan akan menjadi kenangan dan
pengajaran buat manusia yang hidup hatinya. Bencana alam muncul tanpa diduga
membawa air hujan yang melimpah-lurah sehingga menenggelamkan beberapa buah
negeri di Malaysia seperti Kelantan,Terengganu,Pahang,Perak dan yang terkini di
Sabah dan Sarawak. Kita mendoakan keselamatan dan kebaikan buat mereka semua. Air
bah yang berehat dilantai bumi hasil curahan air dari langit membawa satu ujian
besar bagi rakyat disana. Tua,muda,kaya,dan miskin hanyut ditelan banjir besar.Harta
tidak lagi diendahkan kerana nyawa itu adalah nilai segalanya, Tiada lagi wujud
kebergantungan pada manusia kerana semuanya berbalik pada yang Esa.Musibah
untuk dimuhasabah.Selami jiwa dan hati yakni ibrah yang perlu diambil sebagai
bekalan hidup mendatang.
MBM : Misi Banjir Mahasiwa
Satu gerakan mahasiwa yang diketuai oleh saudara Khairol Najib
Hashim selaku pengarah MBM merangkap Presiden PMIUM Sesi 2014/2015. Idea
tercentus atas tubuh badan mahasiswa itu sendiri tanpa sekatan dari mana-mana
pihak baik dari peringkat kampus atau parti politik.Misi Banjir Mahasiwa
membawa satu semboyan suara kepada negara bahawasanya mahasiswa itu sebagai badan
penyelamat dan hidup buat
rakyat.Cakna pada isu sekeliling dan tidak terkubu dililitan dewan kuliah.
Gerakan MBM dengan kerjasama Yayasan Darul Hijrah,NGO Royalti,Impian
Malaysia,Yayasan Amal Malaysia Selangor,dan Jabatan Agama Islam Selangor
telah bergerak bersama dengan sukarelawan mahasiswa dari pelbagai kampus seperti UM,UIA,UKM,USM,USIM,UNIMAP,UITM
dan beberapa pelajar lepasan SPM.Mereka berganding
bahu dan memerah tenaga demi membantu mangsa banjir yang ditimpa ujian alam. Lokasi
tempat berBAKti SISwa di sekitar bandar Kuala Krai iaitu di Peria,Manjur,Kg.
Ragu,dan Manik Urai Lama.
P/S :
Bakti Siswa ( BAKSIS ) iaitu program tahunan yang sering kali dianjurkan oleh
pelbagai Persatuan Negeri di Universiti Malaya.Saya percaya program ini juga
dijalankan oleh seluruh IPT di Malaysia.Saya cadangkan agar kalian memilih
lokasi yang ditimpa musibah banjir supaya istilah BAKTI itu sendiri membawa
1001 harapan baru kepada penduduk tersebut. -Mahasiswa Untuk Rakyat-
“Orang berakal hidup buat masyarakatnya,bukan buat dirinya sendiri”
Falsafah Hidup (67) ,Prof. Dr Hamka
Tanggal 13-20 JAN 2015 adalah waktu dipilih untuk merealisasikan
Perkampungan Harapan Mahasiswa 2015 yakni sebagai satu harapan baru kepada
mangsa banjir untuk mengatur rentak kehidupan.Kami telah membina penempatan
sementara dikawasan Masjid Peria Kuala Krai sebagai tempat teduhan buat
sukarelawan lelaki manakala sukarelawan perempuan menetap di tingkat dua
didalam masjid.Disini tempat kami beristirehat, berbincang mengenai gerak kerja
MBM, makan minum bersama dan juga menjadi tempat pengumpulan barang untuk
dihantarkan kepada mangsa banjir. Hillux NCM dan Lori Royalti menjadi kuda tunggangan kami sepanjang menjalankan
misi jihad disana. Terima kasih kepada empunya kenderaan. Sangat berbakti
kepada kami.
![]() |
-MAHASISWA UNTUK RAKYAT- |
![]() |
Sekitar di kawasan Masjid Peria Kuala Krai,Kelantan |
![]() |
Kenderaan yang berbakti kepada kami sepanjang MBM |
Bermula pada tapak untuk bangkit semula memerlukan pengorbanan dan
semangat juang yang tinggi.Sebuah teratak yang terukir pelbagai nostalgia
diawal penempatan,dihiasi taman bahagia bersama anak cucu, menjana ekonomi
ditanah bumi yang subur mekar,kini sekaligus ranap ditelan air bah.Bersih bukan
sekadar bersihkan tapak bencana,tetapi bersih dan sinarkan kepahitan dihati
mereka.Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.Saat ini mereka diuji, mungkin
satu ketika waktu kita pula diuji.Sungguh hebat ujian ditimpa oleh mereka.
Apakah aku mampu berdiri tegak bila terjunam jatuh ditimpa bala?
Teringat kisah yang dikongsi seorang pak cik sewaktu kami
menjalankan misi pembersihan di kawasan Kg. Ragu. Katanya “ saya bersyukur apa
yang berlaku kepada rumah saya kerana bila saya ziarah di kampung sebelah
(Manik Urai Lama) keadaan rumah mereka lebih teruk daripada diri saya.” Boleh laa
ubah loghat kelate. Dok reti nok oyak.haha.Ini adalah maksud yang hendak
disampaikan pak cik tersebut. Terpampang
hikmah bermusafir dan ziarah ke negeri orang kerana dari situ kita belajar makna
syukur dan meredakan hati yang luruh apabila melihat orang yang lebih susah
daripada kita. Yang hebatnya pak cik ini walaupun keadaan rumahnya masih
berselerak dimainkan air bah tetapi sempat lagi menghidangkan air Teh O’ dan Kopi O’ suam kepada kami.Manisnya
semanis senyuman pak cik ^__^
*Satu
pujian harus diberikan kepada rakyat Kelantan pada adab dan akhlak mereka dalam
memuliakan tetamu.Hal ini terbukti hasil 2 tahun pengajian asasi di UM Nilam
Puri (Batch 2010/2011) sewaktu saya
menyertai dua kali Program Bakti Siswa iaitu pertama di Tok Uban,Pasir Mas dan kedua di Kg.
Tujoh,Tumpat.Mereka melayan kami seperti anak raja dan tiada batas halangan
untuk kami saling berkomunikasi walau berbeza loghat. Sangat hargai
dan takjub layanan yang diberikan kepada kami. Terima kasih ore kelate.
Insan disuruh untuk mengembara melihat alam.Mengambil iktibar
daripada pelbagai kejadian dan peristiwa.Begitu banyak ayat dalam
al-quran,Allah swt menyebut
“ Tidakkah kamu lihat?” dan “Berjalanlah kamu di
bumi”? – Dr Maza
![]() |
Sukarelawan MBM beramah-mesra bersama adik-adik di Kg. Ragu. |
Keadaan di Kg Ragu tidak dianggap kritikal walaupun lumpur sudah menjadi pengganti karpet rumah kalau
hendak dibandingkan keadaan di Kemubu, Manjur, dan Manik Urai lama.Keadaan
penempatan mereka lebih daif berbanding Kg. Ragu.Sewaktu dalam perjalanan
menuju ke kawasan Manjur iaitu kawasan angkat MBM, kami ditayangkan keadaan
hutan pada fitrahnya berwarna hijau kini bertukar coklat hasil ditelan air
bah.Saya jangkakan 2 meter dari paras air sungai dan 3 meter dari permukaan
jalan raya bermakna keseluruhannya adalah 5 meter atau mungkin lebih. Kain,
baju, botol, dan karpet kelihatan tersangkut dibalik pepohon coklat. Bayangkan
bagaimana keadaan mereka sewaktu hujan turun mencurah dari langit dan paras air
meningkat dari masa ke semasa sehingga menelan rumah dan hutan disekeliling
mereka.
Keadaan di Manjur umpama padang jarak padang terkukur. Habis rumah
direntap air.Ada rumah yang beralih tempat, ada yang tinggal ruang dapur dan
tangga hadapan manakala ruang tamunya sudah hilang,ada yang rumah gagah berdiri
namun didalamnya sudah retak dihempap selut, dan ada juga yang hanya tinggal
tanah sahaja.Tugas kami adalah membersihkan kekotoran selut disegenap inci
rumah yang masih boleh diduduki semula. Dimana ada selut disitu ada kami. Malah
ada segelintir sukarelawan sempat melelapkan mata seketika dirumah mangsa
banjir setelah selut dan lumpur selesai dibersihkan.Tanda berpuah hati mungkin.Ada
juga yang mengambil peluang berenang di sungai yakni tempat sumber air yang
diperolehi oleh orang kampung buat sementara waktu.Sesungguhnya penduduk disitu
menanti kedatangan sukarelawan untuk bantu membersihkan kediaman mereka.Faktor
usia tua dan ketiadaan anak disisi menjadi halangan buat mereka untuk
membersihkan kediaman sendiri.
![]() |
Keadaan di Kg Manjur |
![]() |
Kesan air bah disekitar lokasi MBM. |
Menurut seorang penduduk
disana, mana-mana rumah yang masih boleh diduduki bakal menerima peruntukan
perbelanjaan bagi baik pulih semula manakala rumah yang sudah tiada bakal diberi
satu penempatan baru. Moga ini adalah berita benar dan akan diusahakan oleh
pihak yang terlibat baik ia datang dari kerajaan pusat atau kerajaaan negeri. Segala
bantuan juga harus diberikan secara
konsisten dari awal banjir sehingga kehidupan mereka kembali stabil. Mungkin
mengambil masa dalam tempoh setahun atau dua tahun.Saya khuatir sumbangan hanya
terhad dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas banjir surut.Bagaimana pula
keadaaan mereka dalam tempoh seterusnya,sedangkan mereka masih dalam keadaan
uzur untuk memulakan kehidupan baru.
Disitu juga kelihatan beberapa NGO dari pelbagai negeri seperti
Johor,Melaka,Selangor,dan Negeri Sembilan ( setakat apa yang saya lihat
berdasarkan bendera negeri yang diselitkan dibalik pintu dan bumbung kereta ).
Mereka turut sama menghulurkan bantuan baik dari sudut pemberian material dan
pembaikian rumah. Malah sewaktu perjalanan menuju ke beberapa lokasi banjir, kami
sering kali berselisih dengan rombongan kereta Hillux yang sudah pasti
membawa muatan barang-barangan khas buat mangsa banjir. Seperti biasa upacara
kedip-kedip hightbeam saling balas-membalas tanda persahabatan yang
terjalin dijalan raya.Syabas dan tahniah semoga Allah merahmati usaha yang
dicurahkan.
Selain mensucikan rumah mangsa banjir, sukarelawan MBM juga
bergotong-royong ‘mengecat’ Tadika Pasti
yang terletak di Kg. Ragu, membersihkan surau masjid dan menghantar barang material hasil sumbangan
orang awam untuk diberikan kepada mangsa banjir disekitar Kg. Peria.Dapur, air anti-panthogen,air mineral dan senaskah al-Quran
diberikan kepada beberapa rumah yang terpilih berdasarkan kondisi rumah dan
keluarga dibawah pemerhatian ketua kampung kawasan tersebut.Adapun beberapa
sukarelawan ditugaskan untuk mendapatkan respon balas daripada penduduk kampung
sepanjang MBM disana. Senyuman terukir dibibir mereka.Mereka gembira dan amat
bersyukur atas bantuan yang diberikan.Sedikit sebanyak dapat menyembuhkan
tangisan dihati dan mengurangkan beban yang dialami selepas air surut.
![]() |
Misi membersihkan kotoran degil |
Pada malam terakhir sebelum kami berangkat pulang ke kampung halaman,
satu jamuan ala kadar diadakan.Tanda penghargaan kepada setiap tubuh badan
sukarelawan yang bekerja keras tenaga sepanjang MBM.Ayam dan daging kambing
panggang dihidangkan kepada sukarelawan dan jemaah masjid. Ala kadar
sangat.Terima kasih kepada pihak penyumbang yang sponser makanan untuk
malam berkenaan.Lazatnya sehingga bermain didalam mimpi,kenyang sehingga x
perlu makan pagi.
20 JAN 2015 merupakan hari terakhir kami disana.Majlis penutup
dirasmikan oleh Dato Husam Musa selaku pengasas Yayasan Darul Hijrah.Kalamnya
penuh dengan nasihat dan taujihad supaya kita menjadi hamba yang
Rabbani.Mengambil ibrah banjir yang berlaku.Menceritakan kembali banjir zaman
Nabi Nuh supaya mengambil bentuk tindakan dan perlaksanaan sebelum,semasa dan
selepas banjir besar.Sesi fotografi diambil sebagai kenangan disimpan sejarah
yang berharga.Keseluruhan sukarelawan,ngo,dan beberapa penduduk kampung duduk dalam posisi yang ditetapkan dan dalam
kiraan tiga,dua,satu. Smile~
![]() |
Bersama Dato Husam Musa,Ngo Royalti dan keseluruhan Mahasiswa yang menjayakan MBM 13-20 Jan 2015 |
![]() |
Ucapan oleh Dato Husam Musa sempena majlis penutup MBM |
Sedih,pilu,rindu,sayang silih berganti bermain didalam
hati.Hubungan yang terjalin secara tidak dirancang diantara sukarelawan dan
masyarakat.Ukhuwah itu sangat unik.Mengikat hati utuh sekali.Tidak sesekali
ingin putuskan silaturahim dengan tangan sendiri melainkan sudah ditentukan
takdir ilahi.Nostalgia sepanjang berada disana berpusing kembali sejak diawal
menjejak kaki di tanah Kuala Krai.Salam perpisahan silih berganti.Adik-adik
disana enggan sekali melepaskan tangan si akak sukarelawan.Titisan air mata
menzahirkan perasaan didalam hati.Sungguh MBM meninggalkan banyak kenangan yang
berwarna-warni.
![]() |
Si kecil Faris yang menceriakan keadaan disana. Peace ^^ |
Berbahagialah mencintai apa yang dimiliki agar makna syukur itu
sentiasa hidup subur didalam hati.Jangan melihat orang diatas kelak sifat kufur
nikmat akan muncul didalam diri,tapi lihat orang dibawah supaya mulut sentiasa
bertasbih memuji kebesaran Allah atas nikmat yang diberikan.Nilai diri dimana
kita berpijak dan bermusafirlah supaya engkau mengerti hakikatnya kita adalah
sebagai seorang hamba dan wajib tunduk pada yang Maha Esa.
------------------------------------TAMMAT----------------------------
![]() |
Warna-warni Misi Banjir Mahasiswa 13-20 Jan 2015 |
Coretan diatas berdasarkan pemerhatian saya sepanjang berada disana.Saya menyertai Misi Banjir Mahasiswa
bermula 15-20 JAN 2015 iaitu pada trip Ke-2 selepas selesai menjawab
peperiksaan semestera akhir.Mohon maaf sekiranya wujud beberapa kesilapan
teknikal.Hasil coretan diatas buat perkongsian
bersama dan moga ia menjadi satu saham
diakhirat kelak. InsyaAllah.
Waallahualam
Sang
Musafir,
Khair
Alimar Shidi
Mahasiswa
Tahun 3
JSP,Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya
1.29 PM / 29 JAN 2015
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment